5 LANGKAH UNTUK MENDAPATKAN KULIT TUBUH LEBIH MULUS, BERSIH & LICIN SELEMBUT BAYI

5 LANGKAH UNTUK MENDAPATKAN KULIT TUBUH LEBIH MULUS, BERSIH & LICIN SELEMBUT BAYI

Memang benar, kadang-kala seseorang itu tidak mengambil peduli perihal penjagaan tubuhnya kerana bak kata mereka, “Saya pakai seluar, baju labuh, lagi pula tiada siapa akan melihatnya. Kecuali saya.” Dan tidak kurang juga ada yang bersuara, “Wajah sahaja yang kena cantik, bahagian lain tidaklah seteruk menjaga wajah. Cukuplah sekadar mandi mencuci tubuh setiap hari.”

Perasan atau tidak, bahagian-bahagian tubuh badan kamu yang mengalami kulit kering? Antaranya seperti di kawasan siku, tumit kaki dan kemudian pula lutut yang berkerak lagi kehitaman. Selulit yang muncul di bahagian punggung, peha dan juga celah kelangkang juga antara yang kelihatan pada tubuh badan. Jangan kata tidak, setiap orang pasti memiliki selulit pada tubuh mereka.

Masih belum terlambat untuk kamu merawat segala masalah kulit tubuh kamu itu. Selain daripada rajinkan diri berkunjung ke spa, kamu boleh melakukan beberapa rutin penjagaan tubuh hanya di rumah. Ikuti 5 langkah di bawah untuk mendapatkan kulit yang licin, mulus dan lembap!

1 GUNA BERUS BADAN KERING
Sebelum kamu ke kamar mandi, mungkin sambil duduk-duduk menonton televisyen, apa kata kamu ambil berus lembut (yang sesuai digunakan pada tubuh) dan kemudian mula memberus lembut pada bahagian tubuh. Lakukan dalam pergerakan membulat. Ia adalah untuk merangsang peredaran darah langsung mengurangkan selulit pada tubuh badan. Selain itu, ia turut membantu membuang sel kulit mati pada tubuh kamu.

2 LAKUKAN SKRUB TUBUH
Seeloknya lakukan dua ke tiga kali seminggu rutin skrub tubuh ini. Lakukan selepas memberus lembut tubuh kamu tadi. Jika kamu tidak mahu menggunakan skrub yang tersedia ada di pasaran, kamu juga boleh membuatnya sendiri di rumah. Kopi, gula dan madu adalah antara bahan-bahan yang baik untuk tubuh.

3 JANGAN LUPA MANDI SEKURANG-KURANGNYA DUA KALI SEHARI
Menetap di negara yang bercuaca panas seperti di Malaysia ini membuatkan tubuh sentiasa berpeluh dan berdaki. Membersihkan diri dengan cara mandi adalah yang terbaik dan perlu kamu lakukan. Pilih produk pencuci badan yang memiliki formula akti-oksida, hidrasi dan melembap agar tubuh lebih bersih dan segar.

4 LANGKAH EKSTRA, LUMUR MINYAK PADA TUBUH BADAN!
Sesudah mandi, saya sarankan kamu untuk melakukan rutin menyapu minyak terlebih dahulu sebelum kamu menyapu losen pelembap pada tubuh. Mungkin ada yang tidak selesa bila mendengar perkataan minyak. Namun, minyak tubuh badan dan minyak muka tidaklah memiliki formula yang tidak menyenangkan. Teksturnya sebenarnya lebih ringan ibarat kamu tidak menyapu apa-apa pada kulit tubuh kamu. Sapukan minyak ini untuk perlindungan yang lebih pada kulit tubuh badan kamu.

5 DETOKS TUBUH BADAN
Jangan bergantung sepenuhnya kepada produk penjagaan tubuh ini. Pemakanan juga harus diberi perhatian selain daripada melakukan senaman harian. Saya cadangkan untuk kamu mencuba program detoks tubuh menerusi pengambilan jus buah-buahan. Atau kamu juga boleh mengurangkan pengambilan alkohol, kopi, gula dan garam dalam pemakanan dan gaya hidup seharian. Kamu pasti akan merasakan perubahannya.

Tinggalkan Balasan

Close Menu
×

Cart